Kisah Bangkitnya Seorang Perempuan bermula dari percintaan Balqish (Anzalna Nasir) dan Radzi (Ryzal Jaafar) yang tidak kesampaian setelah Radzi dikahwinkan dengan anak ketua kampung iaitu Zila (Faradhiya). Balqish yang cuba menerima kenyataan tersebut mula menjauhkan diri dari Radzi tetapi Radzi tidak rela melihat lelaki lain mendampingi bekas kekasihnya itu. Balqish, seorang gadis berusia pertengahan 20an cukup disenangi penduduk kampung kerana sikap ramah, riang dan mempunyai kebolehan menjahit.
Suatu hari, Radzi berpura-pura mahu menempah baju di rumah Balqish sebelum memperdaya merogol gadis ini di kawasan semak berhampiran. Sejak itu, Balqish berubah menjadi seorang yang sering termenung dan mengurungkan diri dari orang lain serta kadangkala menjerit selepas diganggu mimpi ngeri. Pernah ditanya oleh ibunya, Mak Shidah (Haleeda), siapakah yang sanggup melakukan perbuatan keji ini. Apabila Balqish menjawab Radzi, sukar untuk Mak Shidah percaya kerana Radzi cukup terkenal dengan sifat waraknya. Hatta, Radzi sering ke rumah mereka untuk menawarkan diri berkahwin dengan Balqish bagi menutup malu keluarga Mak Shidah.
Berita Balqish dirogol tersebar ke seluruh kampung dengan pantas malah Zila yang sememangnya berdendam terhadap Balqish telah menokok tambah kononnya Balqish perempuan murah yang sanggup menggadai maruah demi wang. Ketika Mak Shidah dan anaknya itu tertekan oleh cemuhan dan fitnah penduduk kampung, seorang rakan lama Balqish, Misya (Eina Azman) telah pulang ke kampung. Kerana tidak sanggup terus melihat keadaan Balqish, Misya cuba mengajak Balqish berhijrah ke Kuala Lumpur. Walaupun sukar untuk melepaskan Balqish pergi, Mak Shidah turut merasakan ia adalah jalan terbaik bagi Balqish memulakan hidup baru.
Tiba di ibu negara, Balqish menumpang di rumah Misya. Misya mula menceritakan pekerjaannya selama ini sebagai GRO. Misya juga cuba untuk mengheret Balqish ke kancah pelacuran kerana dia merasakan rupa paras Balqish mampu memikat ramai lelaki selain ia merupakan jalan paling mudah untuk mendapat wang lumayan di kotaraya yang pesat membangun ini.
Balqish tidak pernah putus asa berusaha mencari pekerjaan yang halal sehinggalah pertemuannya dengan Khatijah (Dynas Mokhtar), pemilik bengkel kereta. Simpati dengan nasib yang menimpa Balqish, Khatijah menawarkan pekerjaan sebagai mekanik walaupun menyedari ia lebih sesuai untuk kaum lelaki. Tawaran Khatijah itu dikongsikan bersama Misya yang menempelaknya kembali kerana merasakan Balqish terlalu naif dan bodoh untuk menerima pekerjaan yang tidak setaraf kelulusannya.
Dalam keadaan terdesak untuk meneruskan hidup, apakah Balqish berjaya membuktikan pekerjaan sebagai mekanik bukanlah penghalang baginya untuk memperoleh rezeki halal? Dalam pada itu, Mak Shidah yang berada di kampung seorang diri terus dicemuh dengan pelbagai tohmahan sehingga ditimpa sakit jantung. Mampukah Mak Shidah bertahan menanti kepulangan Balqish?
Saksikan drama siri terbaru slot Samarinda, Bangkitnya Seorang Perempuan, bermula 13 Mac ini, setiap hari Selasa hingga Khamis jam 10.00 malam di TV3. Jika anda terlepas menyaksikan drama siri ini di kaca televisyen, anda boleh menontonnya di saluran alternatif menerusi www.tonton.com.my. Pengguna laman sosial Twitter juga boleh menggunakan tanda pagar #BSP untuk sebarang perbualan dan komen.
Sumber : Sensasi Selebriti
No comments:
Post a Comment
Assalamualaikum ! Tinggalkan komen korang :)